#

Media Coverage

 

LIMA 2017 dijangka tarik 550 pempamer, 40,000 pelawat
Utusan Online, Kuala Lumpur
24 Jun 2016 1:30 AM


HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN ketika sidang akhbar pelancaran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 di Kuala Lumpur, semalam. Yang hadir sama, Mohd. Johari Baharom, Abdul Rahim Mohamad Radzi (kiri), Mohd. Anwar Mohd. Nor (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif EN Projects, Shaun Jacobson. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 23 Jun – Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac tahun depan dijangka menarik sebanyak 550 syarikat pempamer dari 38 negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya turut menjangkakan peningkatan pelawat dan delegasi perdagangan kepada 40,000 serta 380 perwakilan dalam pameran berkenaan.

Beliau berkata, sekurang-kurang­nya sebanyak 80 pesawat serta 68 kapal perang dari seluruh dunia dijangka menyertai LIMA 2017.

“Penganjuran LIMA 2015 berjaya memecah rekod dengan penyertaan sebanyak 512 syarikat pempamer dari 36 buah negara meliputi 78 pesawat dan 54 kapal perang, malah telah menarik 39,684 pelawat dan 377 delegasi dari 41 negara.

“Jadi, sasaran untuk LIMA 2017 adalah amat tinggi terutamanya de­ngan kejayaan dalam edisi penganjuran lalu yang disifatkan antara yang terbaik dalam sejarah LIMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran LIMA 2017 di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd. Johari Baharom; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengerusi EN Projects (M) Sdn. Bhd., Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Dalam majlis tersebut, syarikat EN Projects (M) Sdn. Bhd. diumumkan sebagai penganjur baharu LIMA 2017.

Sementara itu, Hishammuddin berharap LIMA 2017 akan memberi manfaat kepada Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak industri pertahanan.

Beliau menjelaskan, peningkatan sasaran pada penganjuran kali ini akan menjadikan LIMA 2017 sebagai acara utama dalam industri maritim dan aeroangkasa di rantau ini.

“LIMA 2017 merupakan acara yang cukup strategik yang selama ini bukan sahaja berjaya me­nyemarakkan semangat semua yang terlibat tetapi membawa pulangan kepada industri pertahanan negara.

“Jadi, kita mahu melihat LIMA 2017 bukan sahaja dapat memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, tetapi yang lebih pen­ting untuk memastikan ia mampu memberi nilai tambah kepada industri pertahanan negara,” jelasnya.

Mengulas berkenaan isu keselamatan di Laut Sulu, Hishammuddin berkata, pihaknya akan me­ngadakan perbincangan tiga penjuru dengan Indonesia dan Fi­lipina di Jakarta mengenai perkara itu pada bulan hadapan.