#

Media Coverage

Back

354 syarikat pertahanan, komersial sah sertai LIMA 2019
Langkawi
11 February 2019

LANGKAWI: Pasukan aerobatik Jupiter One Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) mengesahkan beraksi pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) mulai 26 Mac ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata selain pasukan aerobatik popular menggunakan pesawat KT-1B Wong Bee itu, kemeriahan LIMA’19 akan turut diserikan pasukan aerobatik Malaysia iaitu Krisakti yang menggunakan pesawat Extra 300L.

“Pesawat tanpa pemandu (UAV) Predator 9B dari Amerika Syarikat (AS) dan Wing Long dari China juga mengesahkan turut serta pada pameran kali ini.

“LIMA’19 juga akan menampilkan pesawat SU-30 MKM dan F/A-18D milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pesawat Tejas milik Tentera Udara India dan penerbangan lintas pesawat pengebom B-52 Tentera Udara AS,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja LIMA’19 di Resort World di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, menjelang 43 hari lagi acara itu berlangsung, tempahan ruang pameran telah melebihi jangkaan, manakala chalet korporat habis dijual sejak Oktober lalu.

“Pengisian LIMA’19 yang yang disasarkan penganjur adalah merangkumi sebanyak 60 peratus pameran pertahanan dan baki 40 peratus adalah untuk syarikat komersial.

“Sehingga kini, sebanyak 173 syarikat antarabangsa dan 181 syarikat tempatan telah mengesahkan penyertaan,” katanya.

Mohamad berkata, Turki menjadi pempamer terbesar apabila menempah pavilion mencecah 730 meter persegi dan diikuti Russia 697 meter persegi.

“Penyertaan syarikat tempatan terbesar pula didahului Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), National Aerospace and Defence Industries Bhd (NADI), Muhibbah Engineering dan Sapura Group,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamad menerima replika penajaan daripada Mercedez-Benz Malaysia Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Affin Bank Berhad, PETRONAS dan Oris.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrell Leiking; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sebanyak 31 negara telah mengesahkan penyertaan dengan 12 negara membuat penyertaan secara berkumpulan atau pavilion negara iaitu Australia, Belarus, China, Perancis, Jerman, Jepun, Rusia, Slovakia, Turki, Ukraine, United Kingdom dan Amerika Syarikat.