#

Media Coverage

Back

Lima 2019: Sistem Antidron Digunakan Elak Sabotaj
Sinar Harian, Besut
02 Nov 2018

BESUT - Sistem antidron digunakan pada Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (Lima’19) di Langkawi pada Mac tahun depan, kata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Affendi berkata penggunaan sistem itu bertujuan mengelak sebarang unsur sabotaj di kawasan pameran memandangkan dron merupakan satu ancaman bukan konvensional.

Katanya, buat masa ini, pihaknya bersama sebuah syarikat pertahanan tempatan telah membangunkan sistem berkenaan.

“Sistem ini telah dicuba pada Eksesais Paradise 5/18 yang berlangsung selama 14 hari bermula 21 Oktober lepas.

“Melalui sistem ini, komunikasi daripada pengendali dron ke sistem dapat dimatikan,” katanya selepas Majlis Penutup Eks Paradise 5/18 di Pangkalan TUDM Gong Kedak di sini, hari ini.

Mengulas mengenai eksesais itu, beliau berkata kesemua aset udara TUDM digembleng untuk diuji tahap operasi bagi menentukan kesiapsiagaan yang tinggi.

“Meskipun berdepan kekangan kewangan, latihan yang besar perlu diadakan bagi menentukan (aset) pertahanan udara sentiasa bersiap sedia.

“Eksesais kali ini turut disertai Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu setiap keupayaan (tentera) digabungkan,” katanya.

Lebih 3,000 pegawai dan anggota Tentera Darat, TUDM dan TLDM menyertai eksesais terbesar itu, yang diadakan bagi meningkatkan tahap saling kenali dalam menjalankan operasi membabitkan angkatan besar.

Antara latihan yang dilaksanakan ialah Latihan Tembakan Udara ke Permukaan, Pengisian Minyak di Ruang Udara dan Special Operation Troop Insertion. - Bernama