#

Media Coverage

Back

Malaysia komited tingkatkan hubungan baik pertahanan bersama Indonesia
Jakarta
07 Nov 2018

Malaysia akan terus memperkukuhkan lagi hubungan baik dalam pertahanan dengan Indonesia demi menjaga kepentingan kedua-dua negara, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Hubungan sedia ada itu akan dipertingkatkan dalam semua aspek pertahanan termasuk hubungan antara syarikat pertahanan kedua-dua negara, katanya.

“Penyertaan Malaysia dalam pameran bersempena “Indo Defence 2018“, contohnya, membuktikan komitmen Malaysia dalam mengeratkan hubungan sedia ada.

“Penyertaan Malaysia (di pameran Indo Defence 2018) juga diharap dapat menarik lebih penyertaan syarikat berkaitan pertahanan menyertai Lima’19 (Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 ),” katanya ketika merasmikan pameran “Pavilion Malaysia” bersempena pameran Indo Defence 2018 yang berlangsung di Jakarta International Expo di Kemayoran, di sini.

Penyertaan Pavilion Malaysia dalam pameran Indo Defence adalah kali keempat sejak penyertaan pertamanya pada 2012.

Pameran Indo Defence edisi kelapan itu diadakan dua tahun sekali dengan matlamat bagi mempromosi industri pertahanan di peringkat antarabangsa.

Pameran di Pavilion Malaysia itu disertai Kementerian Pertahanan Malaysia dengan kerjasama Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (Mides), syarikat EN Projects (M) Sdn Bhd, DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Deftech, Sapura, Westar, Systematic Aviation, Aerospace Technology Systems Corporation dan Advanced Defence Systems.

Pengerusi EN Projects (M) Sdn Bhd, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata penyertaan mereka pada pameran itu adalah bagi mempromosi LIMA’19 yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Mac, 2019.

“Setakat ini, hampir 90 peratus daripada 325 kumpulan syarikat (pertahanan) mengesahkan penyertaan manakala empat pasukan akrobatik penerbangan dari Russia, Korea Selatan, China dan Indonesia mengesahkan penyertaan mereka,” katanya.

Pengerusi DSA Exhibition & Conference Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata Pavilion Malaysia juga bagi mempromosikan pameran DSA 2020 (Defence Services Asia 2020).

“Kita sudah memulakan promosi awal untuk DSA 2020, bermula di sini (Jakarta), DSA 2020 amat signifikan dengan kepemimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apatah lagi tahun 2020 adalah tahun wawasan negara mencapai negara maju,” katanya. — Bernama